Membaca sejarah membuatkan aku ngantuk, tetapi menghayati sejarah membuatkan aku seronok. Seronok bukan kerana ceritanya, tetapi seronok kerana akan muncul persoalan demi persoalan yang membuatkan aku terfikir sendiri, mengapa, apa, dan bagaimana ia terjadi. Aku terdetik untuk memikirkan kisah sejarah penyingkiran Singapura dari Malaysia. Persoalan ini ditimbulkan oleh pensyarah aku yang mengajar Dasar Luar Malaysia. Ya, ia satu persoalan yang hebat sekiranya kita dapat mengupas isu tersebut. Namun terma mengapa, apa, dan bagaimana belum cukup seronok dalam konteks persoalan ini. Yang membuatkan aku tertarik ialah wajarkah Singapura keluar dari Malaysia? Aku melihat hal ini sebagai tidak wajar walaupun sejarah membuktikan berlakunya rusuhan kaum hanya kerana kebiadaban Lee Kuan Yew dan parti PAP itu.
Tunku Abdul Rahman menyingkir Singapura dari Malaysia kerana khuatir dengan kebijaksanaan Lee Kuan Yew. Dan dilihat ketika itu Lee Kuan Yew dalam berani menanamkan hasrat ingin menjadi perdana menteri persekutuan Malaysia. Namun perlukah penyingkiran Singapura secara drastik itu dilakukan? Tindakan ini sememangnya tidak wajar. Tindakan Tunku ini dilihat sebagai tindakan yang mengikut emosi Tunku sendiri. Penyingkiran ini membawa satu kerugian yang besar kerana banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan untuk menghalang agenda-agenda Lee Kuan Yew. Begitu juga kekecohan yang ditimbulkan oleh Lee Kuan Yew dan PAP tentang ketidakpuasan hati mereka berikutan isu keistimewaan bumiputera. Bukankah pelbagai cara lagi boleh difikirkan untuk membidas atau melenyapkan kekecohan Lee Kuan Yew ini?
Antara sebab penyingkiran Singapura oleh Tunku Abdul Rahman tidak wajar adalah Persekutuan Malaysia telah hilang sebuah pusat perdagangan. Apabila Sir Stamford Raffles menubuhkan sebuah pelabuhan British di situ, Singapura telah menjadi satu perlabuhan terpenting di dunia hingga ke hari ini. Ini kerana kedudukan pelabuhan Singapura amat strategik memandangkan ia terletak di tengah-tengah laluan perdagangan antara India dan China. Pada kurun ke-14, Singapura berkembang menjadi perlabuhan terpenting di bahagian Selat Melaka, dan bersaing sengit dengan perlabuhan lain seperti Jambi, Kota Cina, Lambri, Semudra, Palembang, Kedah dan Tamiang. Pelabuhan Singapura di sini mempunyai dua fungsi iaitu yang pertamanya membekalkan produk-produk yang mendapat permintaan di pasaran antarabangsa. Antara barangan yang di dagangkan termasuklah topi kask enggang yang berkualiti tinggi, hasil kayu dan kapas. Yang keduanya merupakan pintu masuk ke dalam system ekonomi serantau dan antarabangsa. Johor dan Kepulauan Riau membekalkan barangan ke Singapura untuk di eksport ke tempat lain, sementara Singapura menjadi sumber utama barangan dari negara asing ke rantau ini.
Kedudukan Singapura yang strategik bergantung kepada tiga jaringan perdagangan utama yang wujud di Asia Tenggara ketika itu;
• Jaringan China yang menghubungkan Asia Tenggara dengan pelabuhan di selatan China sepeti Fujian dan Guangdong,
• Jaringan Asia Tenggara yang menghubungkan pulau-pulau di Kepulauan Melayu,
• Jaringan Eropah dan Lautan Hindi yang menghubungkan Singapura dengan Eropah dan pelabuhan di Lautan Hindi.
Jaringan-jaringan ini saling melengkapi, dan meletakkan Singapura sebagai pusat kepada perdagangan serantau dan antarabangsa. Kita lihat, kini pelabuhan Singapura merupakan rangkaian kemudahan dan terminal yang menjalankan fungsi pengendalian perdagangan maritime di pelabuhan Singapura dan juga mengendalikan perkapalan Singapura. Ianya adalah perlabuhan tersibuk di dunia berdasarkan tanah perkapalan yang mengendalikan satu perlima daripada jumlah kontena dunia dan separuh daripada keluaran minyak mentah dunia.
Sekiranya Singapura tidak disingkirkan, Malaysia akan menjadi satu negara yang sangat dikenali dunia seperti Singapura sekarang, dan juga Malaysia akan mendapat kemajuan ekonomi sama seperti apa yang dicapai Singapura sekarang. Namun tindakan Tunku itu satu tindakan yang tidak memikirkan aspek ini. Kita telah kehilangan satu kawasan pemangkin ekonomi yang baik atas tindakan Tunku itu sendiri.
Penyingkiran Singapura juga telah menyebabkan Persekutuan Malaysia kehilangan sebuah negeri melayu. Pada sekitar abad ke-14, pulau Singapura merupakan sebahagian daripada kerajaan Sriwijaya dan dikenali sebagai Temasik (Kota Laut). Dipercayai Singapura merupakan pusat pemerintahan kerajaan Melayu sebelum ia diduduki Stamford Raffles. Ketika Singapura dibersihkan, bukit yang terdapat di situ telah pun dikenali sebagai bukit larangan. Terdapat banyak pokok buah-buahan yang ditanam di situ dan juga terdapat pusat pentadbiran (istana) di situ. Ini juga dibuktikan melalui terjumpanya batu bersurat yang mempunyai ukiran tulisan yang tidak dikenali dan kabur. Ia menunjukkan Singapura telah pun menjadi satu pusat pentadbiran sejak silam lama sebelum ketibaan pihak Inggeris. Malangnya batu bersurat itu telahpun dimusnahkan oleh jurutera Inggeris.
Selain itu juga, pada 1818, Sir Stamford Raffles telah dilantik menjadi gabenor di salah sebuah pelabuhan Inggeris iaitu di Bengkulu, Sumatera. Ketika Stamford Raffles sampai, dia telah menjumpai sebuah perkampungan Melayu kecil di muara sungai Singapura yang diketuai oleh seorang Temenggung Johor. Masyarakat di situ mengamalkan cara hidup melayu dan pemerintahan corak melayu. Pulau itu dikelola oleh Kesultanan Johor tetapi keadaan politiknya tidak stabil. Perlantikan Sultan berlaku di situ dimana Tengku Abdul Rahman telah dilantik menjadi sultan dan bukannya Tengku Hussein yang sepatutnya dilantik menjadi sultan atas alasan mengikut adat yang mana seorang waris atau calon sultan perlu berada di sisi ayahnya semasa ayahnya mangkat. Pengamalan adat melayu ketika itu jelas membuktikan Singapura merupakan negeri melayu.
Singapura mempunyai 75% kaum cina walaupun Singapura adalah negeri melayu. Kedatangan cina dibawa oleh pihak inggeris untuk menjadi buruh di lombong-lombong. Namun majority kaum cina yang ada di situ menyebabkan tanah Singapura itu ibarat menjadi tanah kaum cina. Penyingkiran Singapura oleh Tunku adalah berasaskan alasan ancaman kepada kaum melayu di tanah melayu, tetapi bukankah membuang negeri melayu itu sebenarnya mengancam hak kaum melayu itu sendiri? Pelbagai cara lain boleh difikirkan sekiranya Tunku berbincang dahulu sebelum membuat keputusan. Tetapi dek kerana emosi, Tunku membuat satu keputusan yang merugikan walaupun Tunku tahu Singapura sangat bergantung kepada Persekutuan Malaysia ketika itu.
Saturday, February 6, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment